December 8, 2009

Malaysia Maju!

Rakyat Malaysia meluangkan lebih masa bagi melayari internet dan menjadi semakin arif tentang laman-laman di internet seperti Facebook, Tagged, Twitter, permainan Dragonica manakala berkongsi fail secara online dan laman storan ”4shared” menjadi lima carian terunggul mereka dalam Internet tahun ini.
Mengumumkan Zeitgeist tahunannya bagi Malaysia hari ini, Google berkata rakyat Malaysia menggunakan kedua-dua media tradisional dan baru untuk mendapatkan berita terkini dan gosip tentang selebriti, manakala Raja Pop, Michael Jackson dan ahli politik Elizabeth Wong meninggalkan kesan mendalam kepada orang ramai tahun ini.
Alat Google Zeitgeist memberikan sedikit kefahaman tentang apa yang orang ingin tahu di Malaysia dan tentang topik bagaimanakah yang menarik minat orang di seluruh dunia, berdasarkan carian unggul.
Sementara itu, kata enjin carian online itu, Formula 1 mengatasi bola sepak dan badminton sebagai sukan terhangat tahun ini, dengan tiga daripada lima sukan terunggul mempunyai kaitan dengan F1, manakala pasukan F1 1Malaysia mengungguli carian sukan yang terpantas peningkatannya.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, ia berkata kelembapan ekonomi juga menyaksikan rakyat Malaysia mencari pekerjaan secara online melalui laman web pekerjaan kendalian kerajaan, jobsmalaysia.gov.my.
Malaysia menyaksikan lonjakan besar carian iaitu sebanyak 49 peratus bagi ”jawatan kosong” pada 2009 berbanding 2008.
Google berkata rakyat Malaysia juga mencari barangan murah melalui internet dan mencari tawaran terbaik mungkin, dari barangan isi rumah dan harta hinggalah kepada perjalanan dan elektronik. -BERNAMA

No comments: