November 13, 2009

Teknologi jadi kunci kepada daya saing - Raja Dr. Nazrin

Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara yang mempunyai kemahiran teknologi tinggi bagi mengekalkan pertumbuhan masa depan dan mengelakkan diri daripada perangkap pendapatan sederhana, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Baginda bertitah yang ini boleh dilakukan hanya menerusi penemuan baharu inovasi dan teknologi untuk bersaing dengan negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun dan China.
"Kerajaan telah bersedia untuk menyediakan semua jenis bantuan yang diperlukan. Tanggungjawab terletak pada entiti perniagaan untuk berusaha menjadi lebih berdaya saing di pasaran global," titah baginda dalam ucap tamanya di Forum Perdagangan Antarabangsa Kuala Lumpur yang ketiga di sini hari ini.
"Hari ini, Malaysia mendapati dirinya terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana, tersepit antara ekonomi berintensif buruh berkos rendah dan ekonomi berintensif pengetahuan yang dipacu oleh teknologi.
"Malaysia kehilangan dengan begitu cepatnya kelebihan persaingan dalam eksport produk pengeluaran berintensif buruh dan sewenang-wenangnya mengimport buruh murah bagi menampung sektor ini dan ini tidak membantu apa-apa dalam memperkasakan rantaian nilai ekonomi," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah yang cabaran untuk perniagaan Malaysia hari ini ialah untuk muncul dari situasi kesederhanaan.
"Untuk ini berlaku, perlu adanya persekitaran yang kondusif untuk menginovasikan aktiviti di mana terdapatnya institusi yang mantap dan orang-orangnya yang sihat dan berpendidikan secukupnya, pasaran yang cekap di mana infrastrukturnya dibangunkan dengan baik.
"Perlu juga ada pelaburan yang mencukupi dalam penyelidikan dan pembangunan, kehadiran institusi penyelidikan saintifik berkualiti tinggi, kerjasama menyeluruh dalam penyelidikan antara universiti dan industri dan perlindungan bagi hartanah intelektual," titah baginda sambil mengambil contoh Laporan Daya Saing Global 2009-2010.
Raja Nazrin bertitah Malaysia boleh berjaya dalam usahanya untuk menjadi negara inovasi seperti mewujudkan negara ini sebagai pusat utama untuk kewangan Islam dan pengasal atau pemula kepada bon dan sukuk Islam.
Baginda bertitah yang Malaysia turut membawa nilai kepada pasaran pengeluaran halal global menerusi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia yang diuruskan dan dipromosikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). - Bernama

No comments: