clix this!

waktu Malaysia

July 22, 2008

tiga periuk gulai ayam dicuri?

Seorang peniaga makanan, Ramli Salleh terkejut apabila mendapati tiga periuk gulai yang sudah siap dimasak dilarikan pencuri yang memecah masuk gerainya di Jalan Bandar Bharu di sini malam Sabtu lalu.

Ramli, 58, menyedari kehilangan gulai ayam, ikan keli dan ikan tongkol apabila datang ke gerainya selepas subuh untuk memanaskan makanan berkenaan.

“Saya percaya lauk itu dituangkan ke dalam beg plastik yang didapati bertaburan dalam kedai manakala periuk ditinggalkan oleh pencuri berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain gulai, pencuri itu juga mengambil satu kilogram timun, lima kilogram minyak masak, lima kilogram gula, tujuh tin susu pekat, bawang putih dan halia.

Ramli yang telah berniaga di gerai berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu berkata, dia tidak pernah mendengar kes pencuri melarikan gulai apabila memecah masuk restoran atau gerai makanan.

“Pencuri itu turut mengambil paket uncang minuman yang tergantung di dinding di samping duit syiling dalam tabung dianggarkan RM20. Mereka juga melarikan dua bilah parang yang digunakan untuk membelah kelapa muda,” ujarnya.

Ramli berasa pelik kerana pencuri berkenaan mengambil semua makanan dan meninggalkan barang-barang lain yang berharga seperti tong gas.

Dia percaya pencuri itu memasuki gerainya melalui lubang di bahagian atas pintu dapur dan memecah kuncinya dari dalam untuk membawa keluar barangan yang dicuri.

Ramli membuat laporan berhubung kejadian tersebut di Balai Polis Kubang Kerian semalam. Pihak polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.
(source: utusan malaysia)

1 comment:

Anonymous said...

kito kelik makan nasik dengan gulai ayam...........



kari bin ayam