July 29, 2008

Sekolah Tahfiz Amy Search?

Bukan lagi glamor, kemasyhuran, kesibukan memenuhi undangan pentas, bergambar dengan wanita-wanita cantik atau lain-lain yang berkaitan dengan tuntutan dunia hiburan yang menjadi keutamaannya.

“Saya memohon kepada Allah s.w.t supaya memanjangkan usia, memurahkan rezeki dan memberikan kesihatan yang sejahtera buat saya untuk melalui kehidupan setiap hari.

“Syukur kerana Tuhan memberikan ketenangan yang begitu indah ketika ini, ketenangan yang tidak pernah saya rasakan sepanjang kehidupan saya selama 50 tahun,” jujur Amy berkongsi rasa terhadap ketenangan diri yang menjadi teman akrabnya semenjak kebelakangan ini.

Tiada lagi kebimbangan dalam dirinya untuk menempuh hari-hari yang akan datang melainkan melengkapkan diri dengan bekalan untuk menghadapi hari penghabisan.

“Tidak ada sebab untuk saya mengeluh. Syukur kesihatan saya baik, kedudukan kewangan juga stabil. Bahkan, apa yang menggembirakan, saya juga memiliki keluarga yang sangat menyayangi saya.

“Kini, tibalah masa untuk saya memberi semula ‘pulangan’ yang saya peroleh selama hayat saya bergelar anak seni kepada masyarakat,” Amy bercerita mengenai keinginan besarnya.

Penubuhan sekolah pengajian al-Quran atau lebih tepat Sekolah Tahfiz di negeri kelahirannya merupakan manifestasi terhadap perjuangan murni Amy dalam mempersiapkan dirinya sebelum bertemu dengan-Nya. Sekolah itu diasaskan Amy dengan hasrat memberi peluang kepada anak-anak yatim menelaah ilmu agama khususnya menghafaz kitab suci umat Islam itu.

“Saya sangat menghormati Tan Sri Syed Mokhtar. Beliau merupakan ikon dan tokoh yang sangat saya hormati bila bercakap mengenai sumbangan besar beliau kepada umat Islam dan orang Melayu.

“Melihat kejayaan yang dicapai oleh Yayasan Albukhary dan pencapaian gemilang beliau, saya berazam untuk menjadi sepertinya,” jelas Amy yang tidak henti-henti menyatakan rasa kagum dan hormat beliau kepada tokoh yang begitu rendah diri itu.

Menurut Amy, dia tidak mahu menjadi artis yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa mengambil peduli orang ramai khususnya peminat-peminat yang selama ini menjadi tulang belakang kejayaan seseorang selebriti itu.

“Berkongsi apa yang saya ada dengan masyarakat merupakan cara saya menyatakan terima kasih kepada mereka selain mensyukuri nikmat yang Tuhan berikan.

Saya fikir, setiap kebaikan harus dibalas dengan kebaikan dan kini sampailah masanya untuk saya membalas kebaikan peminat-peminat, keluarga dan rakan-rakan menerusi penglibatan saya dalam kerja-kerja sosial,” kata Amy yang enggan dikenali sebagai jutawan biarpun pada hakikatnya dia sudah mencapai tahap sedemikian rupa.
(source: mingguan malaysia)

No comments: