May 15, 2008

Manusia hampir pupus ye

MANUSIA sebenarnya pernah hampir pupus pada 70,000 tahun yang lalu. Populasi manusia pada masa itu telah mengecil menjadi kumpulan-kumpulan terasing di Afrika yang mungkin berpunca kerana kemarau, menurut satu analisis terbaru.

Laporan tersebut yang didapati daripada kajian berasingan oleh para pengkaji dari Stanford University menganggarkan bilangan manusia awal mungkin telah menyusut sehingga serendah 2,000 orang, sebelum berkembang kembali di awal Zaman Batu.

"Kajian ini mengilustrasikan betapa hebatnya kuasa genetik dalam mendedahkan apa yang telah dilalui oleh sejarah spesies kita," Spencer Wells dari National Geographic Society berkata dalam satu kenyataan. "Manusia-manusia awal yang mengalami survival hidup yang sukar ekoran keadaan alam sekitar, muncul kembali untuk bersatu dan mendiami dunia. Itulah yang tertulis pada DNA kita."

Wells merupakan pengarah Genographic Project yang dilancarkan pada 2005 untuk mengkaji antropologi menggunakan genetik. Kajian tersebut disiarkan dalam American Journal of Human Genetics.

Kajian terdahulu menggunakan DNA mitokondria yang diperoleh daripada ibu-ibu yang menjejaki bahawa manusia moden berasal daripada 'mitokondria Eve' (Hawa) yang tinggal di Afrika kira-kira 200,000 tahun yang lalu.

Migrasi manusia keluar dari Afrika ke tempat-tempat lain di dunia telah bermula sejak 60,000 tahun yang lalu, tetapi tidak banyak yang diketahui tentang manusia yang hidup antara zaman Hawa sehingga era awal migrasi.

Kajian terbaru pada DNA mitokondria kaum Khoi dan San di Afrika Selatan didapati bercambah daripada manusia-manusia lain yang hidup dari 90,000 hingga 150,000 tahun dahulu.

Afrika Timur mengalami beberapa siri kemarau yang dahsyat antara 90,000 hingga 135,000 tahun dahulu dan pengkaji berkata, perubahan iklim mungkin menyumbang kepada perubahan populasi sekali gus membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan kecil yang terasing dan kemudiannya membangun secara sendiri.

Ahli paleontologi Meave Leaky yang juga penasihat Genographic memberi komen:

"Siapa sangka pada 70,000 tahun dahulu, berlaku perubahan iklim ekstrem yang mengurangkan populasi kita sehingga menjadi sangat kecil jumlahnya serta di ambang kepupusan"..

Hari ini, lebih daripada 6.6 bilion manusia menghuni bumi, menurut Biro Bancian Amerika Syarikat.

Kajian tersebut telah dibiayai oleh National Geographic Society, IBM, Yayasan Keluarga Waitt, Yayasan Keluarga Seaver, Family Tree DNA dan makmal kajian Arizona.

(source: kosmo)

No comments: