Fatwa: Pelaburan saham internet haram, pameran hantu dilarang

KUALA LUMPUR, 13 April (Hrkh) - Majlis Fatwa Kebangsaan semalam dilaporkan telah memutuskan bahawa skim pelaburan internet adalah haram di sisi agama.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Dato' Dr Abdul Shukor Husin yang dipetik sebagai berkata sebarang pelaburan yang menjamin keuntungan secara tetap seperti ditawarkan SwissCash adalah haram.

Akhbar melaporkan Majlis berkenaan membuat keputusan itu terhadap semua bentuk pelaburan Internet termasuk skim cepat kaya SwissCash yang kononnya diuruskan Swiss Mutual Fund kerana skim-skim itu secara jelas mengandungi unsur riba.

"Ada banyak pelaburan alternatif disediakan kepada pelabur yang berlandaskan Islam dan boleh disertai oleh umat Islam," kata Abd Shukor.

Keputusan Mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan Ke-77 di Kuala Terengganu itu dilaporkan akan memberi kesan besar kepada aktiviti pelaburan yang melibatkan tidak kurang 500,000 orang Islam di negara ini.

Selain SwissCash, terdapat lebih 50 skim cepat kaya menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) didalangi beberapa sindiket yang menawarkan pelbagai bentuk pelan pelaburan menerusi alam maya Internet.

Pelaburan dikaitan dengan offshore - pesisir pantai

Antara skim berkenaan ialah www.ABFund.biz; www.WinliFund.com; www.empay.com; www.buyebarrel.us; www.eaindex.com; www.fical.us; www.GlobalForex.us; www.Arabic.com; www.eracapital.com; www.e-investpro.com; www.GG-trade.com dan www.smartindex.net.

Dengan membuka laman web www.jutawan.com, pelayar boleh mendapatkan senarai keseluruhan skim-skim pelaburan Internet atau istilah globalnya dikenali sebagai High Yield Investment Programme (HYIP).

Pelaburan Internet lazimnya dikaitkan dengan menjana wang dalam pasaran hadapan komoditi seperti minyak, gas, perladangan , emas dan mata wang asing.

Terdapat pelaburan Internet seperti SwissCash yang mendakwa kononnya aktiviti terbabit dengan pelaburan offshore yang tidak tertakluk dalam bidang kuasa perundangan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

Menyalahi Undang-undang

Dianggarkan pelaburan skim cepat kaya SwissCash yang tampil dengan pelan pelaburan tanpa had dan jaminan keuntungan lebih meyakinkan yang setakat ini sudah menelan kira-kira RM190 juta wang daripada lebih 50,000 pelabur Malaysia.

Kutipan wang deposit awam secara haram itu beroperasi dengan modus operandi berasaskan transaksi Telegraphic Transfer (TT) di bank-bank tempatan dan urusan pelaburan menerusi Internet.

Berhubung perkara itu, BNM membuat kenyataan bahawa skim SwissCash adalah menyalahi undang-undang negara kerana mengambil deposit secara haram.

Sebelum ini, Harakahdaily pernah turut membangkit isu yang sama berhubung hukum melabur di dalam skim pelaburan internet yang dikupas oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din dan Setiausaha Penasihat Syariah Perbankan Islam Antarabangsa, Ustaz Zaharuddin.

Pameran Hantu ditegah

Dalam masa yang sama dilaporkan, Majlis Fatwa Kebangsaan turut melarang penganjuran pameran hantu, jin dan keranda yang mendapat sambutan hangat di kalangan masyarakat ketika ini kerana ia boleh menjurus kepada haram apabila memudaratkan akidah umat Islam.

"Perkara ini ditegah dan kita tidak membenarkan pameran ini dianjurkan kerana ia boleh menjadi makruh dan seterusnya haram apabila mendatangkan mudarat kepada akidah," kata Abdul Shukor.

Sehubungan itu, Abdul Shukor menasihatkan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan pameran seperti itu supaya tidak berbuat demikian kerana pada pandangan agama, ia tidak mendatangkan sebarang faedah.

Sebelum ini, Haron Din yang juga merupakan pengamal perubatan alternatif turut meminta pihak berkuasa sebelum ini memantau pameran hantu yang semakin bercambah semenjak pameran hantu yang diadakan di Muzium Shah Alam tahun lalu di samping meminta pengunjung yang tertipu dengan pameran tersebut membuat laporan polis supaya tiada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan membuat pameran seumpama itu.

---------------------------------------------------------------------------------

Bagiku, keadaan tetap tidak berubah. Sama seperti arak, zina dan lain - lain. Walaupun telah jelas ianya HARAM, tetapi masih ramai lagi yang mengamalkannya. Sama ada kurang pendidikan atau kurang kesedaran, terpulang kepada individu itu sendiri.

"buka minda, buka hati, kenali diri"

Comments