March 27, 2007

Nik Aziz cadang pegawai polis baca khutbah pegang raifal M-16

Oleh HERMAN HAMID

KOTA BHARU 26 Mac – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan supaya pegawai polis yang menyampaikan khutbah Jumaat memegang senjata api seperti M-16 ketika berada di atas mimbar bagi menggantikan tongkat.

‘‘Saya pernah saran sebelum ini kerana Rasulullah sendiri pegang pedang ketika baca khutbah. Ini bertepatan dengan simbol kuasa baginda selaku ketua termasuk dalam soal pertahanan, dan polis juga boleh ambil contoh itu kerana polis juga adalah simbol kuasa dalam sistem masyarakat sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan video cakera padat (VCD) Panduan Solat Bahasa Isyarat peringkat negeri Kelantan, di sini hari ini.

VCD berkenaan diterbitkan oleh Yayasan Orang Pekak Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Nik Aziz juga mencadangkan kepada polis negeri ini supaya menjadikan amalan membaca khutbah Jumaat yang dirintis oleh Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi Jumaat lalu sebagai satu aktiviti yang dilakukan secara berkala.

Abdul Rahim menyampaikan khutbah itu sempena sambutan Ulang Tahun Pasukan Polis Ke-200 yang disambut semalam sebagai usaha merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Malah, katanya, amalan tersebut sewajarnya diperluaskan kepada kesemua jajahan di negeri ini kerana pendekatan itu diyakini dapat memberi kesan dalam usaha membendung peningkatan kes jenayah.

Menurut beliau, usaha polis Kelantan itu dianggap bertepatan untuk menyedarkan masyarakat supaya meninggalkan perbuatan jenayah melalui konteks Islam dan tidak lagi menyerahkan tugas berkenaan kepada guru agama atau ustaz sahaja.

‘‘Sebab itu saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua Polis Kelantan dan timbalannya kerana menjadi pasukan polis pertama melaksanakannya. Ini membuktikan polis juga boleh berkhutbah dengan baik.

‘‘Sudah tentu saya sebagai Menteri Besar berasa berbangga kerana Kelantan sekali lagi bertuah menjadi negeri yang pertama mempelopori pendekatan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz turut mencadangkan kepada polis negeri supaya memastikan kandungan teks khutbah itu memfokuskan secara sepenuhnya hal-hal berkaitan mengurangkan perilaku jenayah selain membangkitkan kesedaran jemaah untuk bekerjasama dengan polis.

- Utusan Malaysia (27 Mac 2007) -

--------------------------------------------------------------------------------------


mungkin benar cadangan Menteri Besar Kelantan itu. Jika difikirkan kembali, tujuan khutbah diadakan adalah untuk memberi maklumat dan pengajaran kepada para jemaah. Tanggungjawab menyebarkan maklumat bukan hanya pada para ustaz dan khatib sahaja, tetapi juga seluruh umat Islam.


1 comment:

aruzahazzi said...

hmmm gabuz. eh. baguz.