Kontroversi menanam al-Quran di Kutub Utara


HARUSSANI ZAKARIA.

Batalkan hasrat – Mufti

KUALA LUMPUR 24 Mac – Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang bakal mengharumkan nama negara menerusi ekspedisi solo ke Kutub Utara pada bulan depan dinasihat membatalkan hasratnya untuk menanam al-Quran di benua ais itu.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar) berkata, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana ia adalah satu penghinaan kepada al-Quran.

‘‘Al-Quran untuk dibaca dan dihayati, bukan untuk ditanam, saya tidak bersetuju, minta dia jangan teruskan benda (perbuatan) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perbincangan pelaksanaan resolusi-resolusi yang diluluskan dalam Kongres Umat Islam Malaysia (Kuisma) di sini, hari ini.

Harussani mengulas mengenai hasrat Sharifah Mazlina, 42, mengenai hasratnya untuk menanam senaskhah al-Quran kecil pemberian guru agamanya bagi membuktikan orang Islam mampu melakukan sesuatu yang bersejarah.

Menurut Sharifah Mazlina, cadangan menanam al-Quran itu dipersetujui beberapa pakar agama yang ditemuinya.

Beliau sebelum ini berjaya menyempurnakan misi merentas Kutub Selatan pada tahun 2004 dalam tempoh 22 hari.

Harussani berkata, bantahannya bukan kerana bimbang al-Quran akan dipijak oleh pihak-pihak lain yang melakukan ekspedisi selepas itu sebaliknya kerana ia membawa maksud seolah-olah kitab suci itu sudah mati.

‘‘Ini bukan masalah dipijak, ia berkaitan al-Quran ini mesti dihidupkan, kenapa kita tanam. Jadi seolah-olah kita menyatakan ia sudah mati,” tegasnya.

‘‘Kalau nama ayah baik tiada masalah, peraturan yang dibuat sebelum ini kerana kita bimbang mereka berkeras untuk terus menggunakan nama tidak baik itu sedangkan ia boleh menyebabkan syirik,” jelasnya.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman semalam yang mempersoalkan tindakan Majlis Fatwa Perlis membenarkan saudara baru mengekalkan nama keluarga mereka.

Abdul Hamid berkata, sistem sedia ada supaya ditukar kepada bin atau binti Abdullah sudah cukup baik serta mudah dan wajar dikekalkan.

- Utusan Malaysia (25 Mac 2007) -

------------------------------------------------------------------

sokong dengan kenyataan mufti Perak itu. Al - Quran adalah untuk dibaca dan dihayati. Banyak lagi cara untuk membuktikan kehebatan umat Islam sekarang ini. Bukannya dengan menanam Al - Quran.

Comments