March 29, 2007

Malaysia menang tapi memalukan


Pemain Hong Kong, Lin Jun Jeng (kiri) memintas pergerakan tonggak serangan skuad kebangsaan, Mohd. Amirulhadi Zainal dalam saingan pusingan kedua kelayakan Olimpik 2008 di Hong Kong, malam tadi. Malaysia menang 1-0. – AFP.

KUALA LUMPUR – Malaysia hanya mampu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Hong Kong yang bermain sembilan orang pada perlawanan kelayakan Olimpik di Hong Kong, semalam.

Ternyata Malaysia gagal mengambil kesempatan daripada imej Hong Kong selaku pasukan yang dianggap lemah untuk mencipta kemenangan bermakna atau besar bagi mencerahkan kembali peluang layak ke Olimpik Beijing.

Walaupun menang, Malaysia mempamerkan mutu permainan cukup rendah yang menyaksikan peluang mereka untuk layak ke Olimpik Beijing 2008 kini makin malap.

Dengan menguasai permainan, Malaysia hanya berjaya membolosi gawang tuan rumah pada minit ke-24 menerusi Mohd. Amirulhadi Zainal.

Amirulhadi bijak mengelecek tiga pertahanan Hong Kong sebelum merembat kencang untuk menggegar jaring.

Aksi selebihnya selepas itu menyaksikan pemain negara seperti hilang punca dan kebuntuan idea untuk menambah jaringan biar pun berdepan sembilan pemain lawan yang semakin hilang tumpuan.

Ini selepas menyaksikan dua pemain mereka dibuang padang kerana mengasari pemain negara yang ghairah mengasak.

Pada penghujung babak kedua, berlaku keadaan tegang apabila pemain-pemain Hong Kong cuba bertindak lebih kasar hingga mengundang insiden tolak menolak di tengah padang.

Ini memaksa pengadil dan pembantu pengadil masuk campur untuk menenangkan keadaan apabila insiden tolak menolak yang semakin tegang.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak banyak membantu peluang Malaysia yang tewas 0-2 kepada Jepun dan 1-3 kepada Syria sebelum ini.

Malaysia akan kembali menentang Hong Kong di tempat sendiri pada 18 April ini sebelum ke Jepun dan menerima kunjungan Syria kemudiannya.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan kumpulan yang sama, Jepun menewaskan Syria 3-0 di Tokyo, semalam.

- Utusan Malaysia (29 Mac 2007) -

--------------------------------------------------------------------------

skuad Malaysia sepatutnya mempamerkan permainan yang baik and meyakinkan. Bagaimana rakyat mahu memberikan sokongan sekiranya mutu permainan yang rendah. Sesuatu mesti dilakukan oleh FAM dan pihak yang berkaitan untuk mengembalikan imej bolasepak Malaysia. Kali terakhir Malaysia mencapai kejayaan adalah pada tahun 1989 di Sukan SEA, Kuala Lumpur. Selepas itu..........

No comments: