Beregu kita juara Seluruh England


JUARA... Tan Boon Heong (kiri) memerhatikan Koo Kien Keat menjulang trofi Seluruh England selepas memenangi acara beregu di Birmingham, England, malam tadi. – Gambar REUTERS.

KUALA LUMPUR 11 Mac – Pasangan sensasi negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menamatkan kemarau 25 tahun Malaysia apabila muncul juara beregu lelaki kejohanan badminton berprestij Seluruh England di Birmingham, hari ini.

Pasangan remaja negara itu, yang memulakan tahun 2007 pada ranking ke-119 dunia, mengejutkan beregu nombor satu dunia yang juga juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China 21-15, 21-18 pada perlawanan akhir.

Kali terakhir Malaysia merangkul kejuaraan beregu lelaki Seluruh England adalah menerusi pasangan adik-beradik, Razif-Jalani Sidek pada 1982.

Ini merupakan kejuaraan Siri Super kedua buat pasangan negara itu selepas turut menjuarai Terbuka Malaysia Januari lalu, selain beraksi dalam perlawanan akhir keempat daripada lima kejohanan yang disertai.

Malah, ia juga adalah sejarah kedua berjaya dipahat beregu sensasi itu dalam tempoh tiga bulan sejak Disember lalu apabila mereka membawa pulang pingat emas pertama Malaysia dari Sukan Asia dalam tempoh 36 tahun.

Muhammad Hafiz Hashim, yang dibimbing oleh seorang lagi keluarga Sidek, Misbun pula menjadi pemain terakhir Malaysia merangkul gelaran prestij itu dalam acara perseorangan lelaki pada 2003.

Kemenangan Kien Keat-Boon Heong, yang merupakan pilihan kelapan turut membuktikan mereka kini adalah sandaran utama negara untuk muncul juara pada Kejohanan Dunia Ogos ini, di mana Malaysia adalah tuan rumah.

Pasangan nombor 32 dunia itu, yang digandingkan buat kali pertama di Terbuka Jepun, Disember lalu hanya memerlukan 39 minit untuk menundukkan Haifeng-Cai Yun, juara Seluruh England 2005.

Biarpun tidak mempamer aksi agresif seperti kebiasaan dan lebih banyak bermain rali, namun ia sudah cukup untuk mereka mencatat rekod bersih dengan tidak melepaskan sebarang set sepanjang empat hari kejohanan.

Ini adalah kemenangan kedua yang dicatat Kien Keat-Boon Heong ke atas pasangan nombor satu China itu selepas turut mengalahkan mereka di suku akhir Sukan Asia Doha.

‘‘Kami pernah mengalahkan mereka pada Sukan Asia di Doha, Disember lalu dan amat optimis dapat mengulanginya pada kejohanan ini.

‘‘Hadiah ini untuk rakyat Malaysia yang memberikan sokongan hebat dan hadiah ini juga buat jurulatih, Rexy Mainaky,’’ kata Kien Keat.

Sementara itu, Boon Heong berkata:‘‘Kami tidak mempunyai strategi khusus tetapi kami sudah bersedia apabila masuk gelanggang dengan permainan serangan sejak awal perlawanan kerana pasangan China itu juga mempunyai corak permainan yang sama seperti kami.’’

Kemenangan ini juga melayakkan anak-anak didik Rexy Mainaky itu membawa pulang hadiah kemenangan AS$14,400 (RM50,600).

Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Lin Dan mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki selepas menewaskan rakan senegara dari China, Chen Yu 21-13, 21-12.

- Utusan Malaysia (12 Mac 2007) -

------------------------------------------------------------------------------------------------

syabas & tahniah kepada mereka atas kejayaan bersejarah itu. adalah diharapkan mereka akan mengembalikan kegemilangan badminton Malaysia yang dilihat kian pudar. jangan terlalu cepat berpuas hati dengan kejayaan yang dikecapi. MALAYSIA BOLEH !!

Comments