April 24, 2006

perjuangan yang belum selesai

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat dari melihat bangsaku dijajah,
Tidak ada yang lebih menyedihkan dari membiarkan bangsaku dihina,

Airmata tiada ertinya,
Sejarah silam tiada maknanya,
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir,
Dipersenda dan dilupakan,

Bukan kecil langkah wira bangsa para pejuang kemerdekaan bagi menegakkan kemuliaan dan darjat bangsa,
Selangkah beerti mara mengharung sejuta dugaan

Biarkan bertatih asalkan langkah itu yakin dan cermat bagi memastikan negara merdeka dan bangsa terpelihara,
Air mata sengsara mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita,

Tugas kita bukan kecil kerana mengisi kemrdekaan rupanya lebih sukar dari bermandi keringat Dan darah menuntutnya

Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan mengangguk dan membenarkan kerana sekalipun bangganya negara
Kerana makmur dan mewahnya,
Bangsaku masih melata dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita meneruskan perjuangan kemerdekaan kita,
Kerana rupanya selain memerdekakan,
Mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya bukankah sejak zaman berzaman
mereka menjadi pelaut, pengembara malah penakluk terkemuka?

Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
Menjadi perdagang dan perniaga,
Selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?

Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera menjajah
dunia yang tak dikenal

Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau yang tidak mengenal
erti takut dan kematian?

Di manakah silapnya hingga bangsaku berasa begitu kecil dan rendah diri?

Apakah angkara penjajah? lalu bangsaku mulai
Melupakan kegemilangan silam dan sejarah gemilang membina empayar

Tugas kita belum selesai rupanya bagi memertabat dan memuliakan bangsa kerana
hanya bangsa yang berjaya akan sentiasa dihormati

Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita bukan sekadar memerdeka dan mengisinya tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan buat selama-lamanya

Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga bagi mereka yang lemah dan mudah Kecewa

Perjuangan kita belum selesai kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya.

by:- Dr. Mahathir Mohamad

1 comment:

Anonymous said...

Bersamalah kita terus memperjuangkannya......bermula dengan diri kita.